
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan memperincikan pelaksanaan perkara itu supaya golongan terbabit boleh memohon kad sementara Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan.
Katanya, langkah itu membolehkan status golongan itu yang dilihat sebagai liabiliti, bertukar kepada aset dengan menjadi tenaga kerja tambahan, mengikut keperluan bidang tertentu yang dibenarkan mengikut perundangan.
“Perincian ini sedang dilakukan dan akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas pertemuan dengan Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki, hari ini.
Pertemuan itu berlangsung di luar sesi khas Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya yang diadakan atas permintaan kerajaan Malaysia.
Zahid berkata, usaha itu antara komitmen Malaysia yang diterjemahkan bagi membantu etnik Rohingya serta memberikan sokongan di pentas antarabangsa.
Mengenai sokongan Malaysia terhadap Palestin, Zahid berkata, ia tidak terhad di pentas PBB sahaja, tetapi meliputi organisasi antarabangsa lain, termasuk OIC dalam mencari penyelesaian adil, berkekalan, menyeluruh dan aman terhadap konflik Palestin-Israel.
“Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia sentiasa memainkan peranan aktif dalam pertubuhan ini bagi menangani isu Palestin di peringkat antarabangsa. Selain itu, dalam mengurangkan penderitaan rakyat Palestin, Malaysia juga memberikan sumbangan kepada OIC,” katanya.
Mengenai cadangan penggabungan Hamas dan Fatah, Zahid berkata, secara peribadi beliau menyarankan gabungan ini dilakukan demi kepentingan Palestin dan rakyatnya.
“Malaysia terus menyokong hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara bebas dengan kewujudan negara Palestin dan Israel secara sebelah-menyebelah berdasarkan persempadanan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin,” katanya.
Beliau berkata, usaha sebuah negara untuk mengalihkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis harus dibantah kerana ia seolah-olah memberi pengiktirafan kepada pencerobohan yang dilakukan Israel terhadap Palestin.
Selesaikan soal gaji sebelum benarkan Rohingya bekerja, kata NGO
Perlu ada hitam putih jika mahu Rohingya bekerja di Malaysia