
“Khalid bukan seorang penceramah agama. Beliau tidak menyampaikan ceramah agama. Berceramah tidak semestinya bermakna ia adalah ceramah agama. Bolehkah Jais mengesahkan tiada seorang ahli parlimen daripada Umno ataupun menteri yang berceramah di premis masjid?” tulis bekas menteri itu dalam blognya hari ini, mengulas denda RM2,900 ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah surau di Klang 6 tahun lalu.
Zaid sebaliknya membandingkan tindakan Jais itu dengan arahan Sultan Selangor supaya masjid di negeri itu bebas daripada pengaruh politik.
“Sultan Selangor, seperti raja lain di negara ini, merupakan pemimpin yang berhikmah. Baginda tidak mahu masjid dan surau dijadikan tempat kempen politik, dan bebas daripada ceramah politik. Baginda juga mahukan keputusan ini dilaksanakan dengan adil dan bijaksana.
“Namun Jais yang dipertanggungjawabkan melaksanakan titah perintah baginda Sultan tidak melakukannya dengan hikmah.”
Menurut Zaid, hukuman terhadap Khalid adalah angkuh dan salah, dan Jais perlu memahami tugas ahli parlimen yang adakalanya memerlukan mereka bercakap di mana sahaja, termasuklah surau.
Katanya, tujuan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang digunakan untuk mendakwa Khalid adalah bagi membendung pendakwah yang memberi ceramah agama tanpa tauliah.
“Seksyen 119 ini adalah untuk menghukum mereka yang memberi ceramah agama tanpa kebenaran. Seorang ahli parlimen membincangkan tentang Gaza di surau bukan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 119.
“Banyak lagi cara boleh digunakan bagi tujuan membersihkan masjid daripada politik. Apa yang diperlukan adalah fikiran berhikmah dan panjang.”