
Tanpa menamakan jenama kereta yang dimaksudkan, Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users) berkata antara aduan yang diterima ialah masalah brek melibatkan “kenderaan nasional model terbaru”.
“Lebih mengejutkan, kenderaan tersebut telah mula menunjuk ‘perangai sebenar’ selepas sebulan penggunaannya,” kata jurucakap Standards Users, Nur Asyikin Aminuddin dalam kenyataan kepada FMT.
“Masalah ini tidak sepatutnya berlaku untuk kenderaan yang baru keluar dari ‘oven’. Masalah brek terutamanya merupakan masalah yang tidak boleh ditolak ansur kerana ianya boleh mengancam nyawa penumpang kenderaan terbabit.”
Nur Asyikin berkata masalah itu membebankan pengguna berpendapatan rendah yang kemudian terpaksa menjual semula kereta bermasalah itu dengan kaedah “trade in”.
Beliau turut mendakwa kertas laporan hasil penyiasatan aduan oleh pengeluar kenderaan tidak melibatkan badan yang bebas untuk mengesahkan hasil penyiasatan.
Katanya, panduan untuk pengeluar yang diterbitkan tahun lalu, Malaysian Standard Consumer Product Safety and Recall Guidance perlu menjadi rujukan pengeluar kereta.
“Objektif keseluruhan bagi panduan tersebut adalah untuk menghasilkan produk pengguna yang lebih selamat supaya dapat mengurangkan risiko keselamatan produk untuk pengguna, mengurangkan risiko penarikan balik oleh pihak pengeluar, menyediakan pengguna dengan maklumat yang diperlukan untuk membuat pemilihan penggunaan produk yang selamat, dan membantu kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan produk kepenggunaan.”