Ke mana semua Cina dalam video ini?

Ke mana semua Cina dalam video ini?

Itulah keunikan iklan Malaysia Airlines yang dibintangi rakyat Malaysia bukan berketurunan Cina tetapi fasih berbahasa Kantonis dan Mandarin.

mas_newyear_600
PETALING JAYA:
Seperti tahun lepas, syarikat korporat berlumba-lumba menonjolkan iklan ucapan Tahun Baharu Cina dengan mesej tersirat.

Namun untuk tahun ini, mesej iklan Malaysia Airlines tersirat pada penampilan watak yang kesemuanya bukan berbangsa Cina.

M&C Saatchi Malaysia, agensi iklan yang terlibat dalam penerbitan klip video itu, berkata ia bertujuan memberi mesej Tahun Baharu Cina di negara ini bukan sahaja dirayakan penduduk berbangsa Cina.

“Kami tahu semua iklan ucapan Tahun Baharu Cina selalunya memfokuskan orang Cina,” kata pengarah kreatifnya, Darren Lee.

“Tetapi kami mahu menunjukkan, bukan sahaja kaum Cina yang merayakannya, dan kaum lain turut berkongsi perayaan Tahun Baharu Cina bersama sahabat berbangsa Cina.”

Video 1.41 minit itu memaparkan pelakon Melayu, India dan berkacukan mengucapkan “Gong Xi Fa Chai” dalam bahasa Mandarin, Kantonis dan Hokien, iaitu 3 bahasa ibunda paling popular ditutur masyarakat Cina negara ini.

Lee berkata tidak seorang pun daripada watak dalam video itu pelakon profesional, malah ada yang tidak pernah mendepani kamera.

“Mereka fasih bertutur Mandarin, Hokien, dan Kantonis. Kami tidak perlu melatih mereka langsung.

“Ada antara mereka menuntut di sekolah Cina. Ada pula yang pelajari bahasa Cina kerana bergaul dengan masyarakat lain. Itulah keindahan video ini,” kata Lee.

“Ia menunjukkan betapa progresif kita, bukan sahaja dwibahasa tetapi 3 bahasa, dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia yang meraikan kepelbagaian dan kebudayaan lain.”

Salah seorang daripada watak video itu, Farah Halijah Halim, seorang berbangsa Melayu, bukan sahaja fasih Kantonis tetapi juga Mandarin.

Farah, 29, memberitahu FMT, beliau belajar di sekolah aliran Cina di peringkat rendah mahupun menengah.

“Dan apabila mula alam pekerjaan, saya mempelajari Kantonis,” katanya yang kini juruaudit di Ernst & Young.

Farah berkata beliau mendapat tahu mengenai projek iklan itu menerusi sahabat Facebook.

“Saya pun menghantar 2 rakaman saya bercakap Mandarin dan Kantonis.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.