
Antara negara yang mengutuk keputusan presiden baharu AS itu termasuk Jerman, Britain, Perancis dan Kanada.
Bagaimanapun, New York Times (NYT) dengan pengecualian Iran dan Iraq melaporkan tidak ada satu pun negara Islam membuat bantahan rasmi di sebalik arahan Trump mengharamkan pelarian dan rakyat dari beberapa negara Islam.
Trump baru-baru ini mengotakan janjinya membekukan kemasukan umat Islam ke AS. Kurang 2 minggu selepas mengangkat sumpah, beliau membekukan kemasukan rakyat Iraq, Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman ke AS selama 90 hari.
Trump menjawab kritikan dengan berkata dasar yang diperkenalkan itu bukan “larangan terhadap umat Islam”.
NYT melaporkan Raja Salman dari Arab Saudi menghubungi Trump menerusi telefon pada Ahad, tetapi tidak membuat sebarang komen umum, manakala Presiden Abdel Fattah el-Sisi dari Mesir juga tidak bersuara.
Malah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menggabungkan 57 negara majoriti Islam turut mengambil tindakan menikus.
NYT memetik penganalisis politik Pakistan, Zahid Hussain yang berkata pemimpin negara Islam mahu berdiam diri dan melihat sejauh mana perintah itu akan dilaksanakan.
NYT turut melaporkan Raja Abdullah II dari Jordan dijadualkan bertemu pentadbiran Trump dan Kongres di Washington hari ini, menjadi pemimpin Arab pertama yang melakukan sedemikian sejak perintah eksekutif itu dikeluarkan.
Akhbar itu berkata sikap membisu negara Islam menggambarkan keretakan solidariti dalam dunia Islam, walaupun sebelum ini ditunjukkan melalui kenyataan tegas mereka dalam isu seperti konflik di Palestin dan Iraq.