Nazri masih boleh buktikan kejantanannya

Nazri masih boleh buktikan kejantanannya

Rakyat sangat mengharapkan debat Nazri-Mahathir, dan ada banyak cara debat boleh dilakukan dengan penonton lebih ramai, tanpa memerlukan kehadiran fizikal.

nazri-mahathir-1
Sekali lagi polis menjadi penghalang kepada debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai skandal 1MDB dan BMF era 1980-an.

Debat yang sepatutnya berlaku di Perak pada 25 Mac yang lalu di Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah dibatalkan polis atas sebab faktor keselamatan.

Semalam, polis sekali lagi membatalkan permit untuk debat antara 2 tokoh tersebut yang dijadualkan semula pada 7 April di Shah Alam, kurang 24 jam selepas kebenaran pertama diberikan.

“Alasan yang diberikan adalah bantahan penduduk dari sekitar kawasan tersebut dan setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam dengan ini kelulusan permit himpunan aman dibatalkan,” kata bos Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob selaku penganjur debat.

Tidak pasti bagaimana suatu debat yang kecil di pejabat Sinar Harian di Shah Alam dapat mengganggu ketenteraman awam. Walau apapun, rakyat sangat mengharapkan debat ini dapat diadakan.

Cara alternatif

Sebenarnya ada banyak cara debat boleh dilakukan tanpa memerlukan kehadiran fizikal para penyokong dan juga Nazri dan Dr Mahathir.

Antara caranya ialah debat boleh dilakukan menerusi persidangan video menggunakan aplikasi seperti Skype dan Google Video Chat digabungkan dengan live feed untuk membolehkan debat itu disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Debat menggunakan kedua-dua aplikasi ini pastinya tidak akan menggugat ketenteraman awam kerana Nazri dan Dr Mahathir masing-masing akan berdebat tanpa perlu bertemu.

Debat secara berjauhan ini dijangka akan menjadi lebih menarik daripada debat 4 mata yang dibuktikan daripada pertemuan “bisu” Nazri dan Dr Mahathir di Padang Rengas tempoh hari, di mana kedua-dua tokoh itu saling menunggu sesama sendiri untuk berteguran.

Polis juga tidak perlu risau akan ada sesiapa yang bakal melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 jika debat diadakan di alam maya kerana para penyokong hanya akan berkumpul di alam maya dan bukan secara fizikal.

Oh silap! Sebenarnya jika debat diadakan di alam maya, tiada keperluan untuk penganjur langsung memohon permit daripada polis. Malah, penganjur tidak perlu untuk melibatkan polis apatah lagi akan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012. Bukan itu sahaja, tenaga polis boleh dimanfaatkan untuk perkara lebih berfaedah ketika debat berlangsung.

Halangan daripada polis hanyalah halangan secara fizikal yang ada kewajarannya, meskipun alasan itu susah diterima. Namun ia tidak menutup ruang untuk debat diadakan.

Kejantanan yang ditunjukkan Nazri setakat ini sangat mengagumkan. Diharap beliau tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk membetulkan persepsi Dr Mahathir terhadap 1MDB dan mengingatkannya mengenai skandal BMF.

Sebagai menteri pelancongan, sudah tentu Nazri sedar akan kecanggihan teknologi hari ini.

Ayuh Datuk Seri, teruskan debat di alam maya pada 7 April. Rakyat sedang menanti. Biar skandal 1MDB dan BMF ini terus hidup dan rakyat mendapat maklumat yang tepat melalui debat ini walaupun akan ada cacing yang kepanasan.

 Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.