Lelaki dipenjara 23 tahun miliki baju, bendera IS

Lelaki dipenjara 23 tahun miliki baju, bendera IS

Peniaga berusia 29 tahun itu memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan perbuatan terlalu terpengaruh dengan IS dan tidak sanggup berpisah dengan keluarganya.

Mohd-Shaifful-Shahril-Ramli
KUALA LUMPUR:
Seorang peniaga dihukum penjara 23 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap 3 pertuduhan berkaitan kumpulan IS, termasuk memberi sokongan dan memiliki baju serta bendera yang mempunyai lambang kumpulan militan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shaifful Shahril Ramli, 29, mengaku bersalah atas 3 pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun, manakala masing-masing 13 tahun dan 2 tahun penjara bagi pertuduhan ke-2 dan ke-3.

Bagaimanapun, tertuduh akan menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh tangkapan pada 19 Julai 2016.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, tertuduh sepatutnya sedar individu yang memasukkannya di dalam kumpulan telegram, iaitu Muhammad Wanndy Mohamed Jedi merupakan seorang pengganas terkenal.

“Alasan tertuduh tidak pernah berjumpa secara fizikal tidak boleh diterima mahkamah dan dalam kecanggihan sekarang ini, harus ada penilaian mantap mengenai sesuatu maklumat. Perhubungan dalam alam maya tidak perlukan pertemuan secara fizikal,” katanya.

Mohd Shaifful Shahril mengaku memberi sokongan kepada kumpulan IS dalam satu aplikasi media sosial Telegram “amanah(phb) vs pas” atas nama Anonymous/Anonimous dalam telefon bimbitnya antara 18 Jun hingga 29 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Tertuduh juga didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi, serta bertujuan mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbitnya antara 26 Jun dan
29 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130 J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Mohd Shaifful Shahril juga didakwa memiliki sehelai baju sejuk yang mempunyai lambang IS dan sehelai bendera yang mempunyai lambang IS, kira-kira 9.45 pagi, 22 Julai tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Mohd Shaifful Shahril yang diwakili peguam K.A. Ramu, melakukan semua kesalahan itu di No 3, Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh, Selangor.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dan kesal atas perbuatannya yang terlalu terpengaruh dengan kumpulan itu.

“Saya tidak sanggup berpisah dengan keluarga, saya mahu hukuman saya diringankan dan saya harapkan peluang terakhir untuk saya berubah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran bagi mengekang penularan kes berkaitan kumpulan pengganas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.