
Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata laporan tahunan badan itu mendapati Sosma digunakan untuk tujuan lain demi menjaga kepentingan pihak tertentu sehingga melangkaui hak asasi manusia.
“Dalam tempoh pendek sejak ia diluluskan, Sosma digunakan bagi tujuan lain daripada anti keganasan dan Suhakam mencatatkan aduan tahanan yang mendakwa terjadinya penderaan sepanjang ditahan 28 hari, contohnya temu duga yang dijalankan dalam keadaan bertujuan menghina tahanan.
“Terdapat kes di mana individu yang memilih melaksanakan hak berhimpun secara aman ditahan di bawah akta tersebut.
“Malah, seakan-akan ada trend untuk melemahkan percubaan serius bagi mengkaji kepatuhan undang-undang anti keganasan ini kepada hak asasi manusia,” katanya sambil menyifatkan akta itu melampaui kesalahan keganasan.
Beliau berkata berdasarkan cadangan awal Sosma diwujudkan sebagai langkah kerajaan mengekang aktiviti keganasan seperti kumpulan IS, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
Razali berkata akta mengekang aktiviti keganasan seperti Sosma iaitu Akta Langkah-langkah Menangani Keganasan Luar Negara (SMATA) 2015, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 bagi memastikan polis mempunyai kuasa perlu ada, tetapi ia seharusnya seimbang antara keselamatan negara dan hak asasi manusia.
“Suhakam bukan mencadangkan kita mengelak daripada meluluskan undang-undang pencegahan keganasan kerana bimbang berlaku pelanggaran hak asasi manusia. Tetapi undang-undang anti keganasan harus mengandungi perlindungan daripada penyalahgunaan atau ketidaksahan.
“Adalah penting apabila kuasa luar biasa yang berpotensi untuk melanggar hak asasi manusia, diperkenalkan kerajaan yang kuasa ini tertakluk kepada semakan sebenar, segera dan menyeluruh oleh badan kehakiman bebas,” katanya.
Semalam Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 979 orang ditahan di bawah akta Sosma sejak hampir 5 tahun lalu.
Katanya, tahanan itu dibuat sejak 31 Julai 2012 hingga 22 Februari lepas di mana 8 daripadanya sudah didakwa iaitu 3 di bawah Kanun Keseksaan, seorang di bawah Akta Pendaftaran Negara dan 4 di bawah Akta Imigresen manakala 27 diusir, 5 lagi masih dalam siasatan manakala baki 3 orang dibebaskan.