Arab Saudi larang bergambar di Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Arab Saudi larang bergambar di Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Larangan itu terpakai tanpa mengira matlamat pengunjung termasuk wakil media.

larangan-ambil-gambar-masjidil-haram-arab-saudi-mekah
PETALING JAYA: Arab Saudi melarang pengunjung mengambil gambar dan merakam video di 2 masjid suci umat Islam di Mekah dan Madinah.

Menurut pengarah direktorat akhbar dan informasi Saudi, larangan yang dikenakan ke atas pengujung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi itu diputuskan oleh kementerian luar Saudi pada 12 November lalu.

Larangan itu terpakai tanpa mengira matlamat pengunjung termasuk wakil media. Ia dikenakan untuk melindungi dan memelihara tempat suci itu, kata satu kenyataan.

Larangan itu juga terpakai di kawasan sekitar kedua-dua masjid tersebut.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata perbuatan itu mengganggu jemaah di dalam masjid sebagai alasan lain bagi pengenalan langkah tersebut.

“Sekiranya larangan yang dikenakan untuk memastikan kelancaran ibadah itu tidak dipatuhi, alatan yang digunakan untuk mengambil gambar dan video tersebut akan dirampas dan tindakan undang-undang akan diambil,” kata kenyataan itu lagi.

Awal minggu ini, tindakan seorang lelaki Israel bergambar di dalam Masjid Nabawi menggemparkan dunia Arab dan umat Islam di media sosial.

Orang bukan Islam dilarang keras memasuki masjid yang terletak di tengah-tengah Madinah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.