
Pengarah JKN Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, pesakit yang juga rakyat tempatan itu dikesan positif malaria sekembalinya dari bekerja di Kepulauan Solomon.
“JKN Sarawak melaksanakan kajian entomologi di kawasan tersebut dan mendapati ada populasi nyamuk Anopheles letifer yang boleh menyebabkan penyebaran penyakit malaria, jika tidak dikawal dari awal.
“Sehubungan itu, aktiviti kawalan nyamuk telah dilakukan di kawasan itu seperti semburan racun pembunuh nyamuk serta pengedaran kelambu berubat kepada penduduk terbabit. Hingga kini, aktiviti berkenaan dilakukan meliputi 168 pintu rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah seterusnya adalah saringan darah dalam kalangan penduduk sekitar lingkungan 200m dari tempat kediaman kes (pesakit) untuk mengenal pasti sama ada terdapat penularan kes malaria dalam kalangan penduduk setempat.
“Saringan mengesan kehadiran parasit malaria dalam darah secara meluas bermula 25 November 2017 dan setakat ini seramai 192 penduduk disaring.
“JKN Sarawak ingin menasihati semua penduduk di kawasan tersebut menggunakan kelambu berubat dan semburan penghalau nyamuk sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Dr Jamilah berkata, JKN Sarawak juga amat mengharapkan penduduk setempat memberi kerjasama sepenuhnya kepada anggota kesihatan yang akan menjalankan saringan darah nanti.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di talian 082-344590.
Malaria adalah penyakit disebabkan parasit plasmodium merebak melalui gigitan nyamuk Anopheles yang dijangkiti parasit (dipanggil sporozoites).