
Dr Maszlee Malik berkata, sebagai negara yang memiliki kekayaan dan kepelbagaian dari segi kaum dan agama, Malaysia berkeupayaan membangunkan model Islam sendiri.
Maszlee berkata demikian ketika membentangkan kajiannya berhubung kajian pengaruh Rashid Ghannouchi terhadap Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Amanah, dan DAP pada satu persidangan antarabangsa tentang demokrasi dan dunia Islam yang diadakan oleh Istanbul Network.
Rashid Ghannouchi adalah tokoh pemikir Islam yang juga pengasas dan presiden Parti Gerakan En-Nahda Tunisia.
“Saya ada pemerhatian sendiri mengenai Rashid Ghannouchi, masanya sudah tamat untuk kita lihat model Timur Tengah.
“Kita perlu bangunkan model kita sendiri, kita pelbagai agama dan kaum. Situasi Malaysia unik dan tidak boleh dibandingkan dengan Timur Tengah termasuk Turki.
“Mereka ada realiti mereka sendiri, di Malaysia kita perlukan model kita sendiri,” katanya, ketika menjadi panel persidangan antarabangsa itu yang diadakan di International Institute of Advanved Islamic Studies (IAIS) hari ini.
Malaysia katanya pernah mempunyai model ikon Islam sendiri suatu ketika dahulu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Burhanuddin Al Helmy.
“Seperti Indonesia, mereka ada Islam Nusantara yang diperkenalkan oleh Nadhlatul Ulama dan Muhammadiyah yang memperkenalkan Islam berkebajikan.
“Mereka cuba berdiri atas kaki mereka sendiri. Ini yang ahli politik Islam di Malaysia perlu fahami, mereka perlu berdiri atas kaki mereka sendiri,” katanya.
Namun begitu, Maszlee berkata, label tidak akan berguna sekiranya mereka tidak menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran.
“Tapi akhirnya, label tidak berapa penting. Kita perlukan tatakelola kerajaan yang baik.
“Gelarkan diri anda demokrat muslim atau sebagainya tetapi tiada nilai Islamnya jika kamu kleptokrat, kecuali kamu kembali kepada nilai Islam yang adil dan menghormati kesamarataan,” katanya.