
Bagi ramai, memuat naik gambar, status atau apa-apa kiriman di laman sosial menjadi sejenis kewajipan. Hampir setiap hari atau beberapa kali dalam sehari, sesuatu mesti dimuat naik. Facebook, Instagram, Twitter, Snapchat, dan sebagainya menjadi sebahagian daripada hidup kita.Tidak dinafikan ia juga menjadi alat perhubungan yang mudah untuk menghubungi rakan, keluarga, rakan kerja mahupun sesiapa sahaja di dunia ini tanpa mengira sempadan dan had masa. Laman sosial juga menawarkan peluang untuk berkongsi detik berharga dengan rakan-rakan atau pengikut media sosial.
Tetapi, tahukah anda setiap perkongsian itu ada hadnya? Kalau melebihi had, ia sudah menjadi ketagihan atau seperti penyakit.
Jadi awas, jangan muat naik sesuatu ikut suka. Di bawah, FMT Ohsem menyenarai tanda-tanda penyakit “media sosial” melampau. Kalau ada 3 daripada 5 yang disebut, berhati-hatilah, sudah tiba masa merawat penyakit itu.
1. Rasa dihargai apabila mendapat banyak “like” dan “retweet”
Inikah caranya anda membahagiakan diri? Sekadar bergantung kepada jumlah “like”, “retweet”, “komen” di media sosial anda? Di era digital ini, ramai yang tersalah ukur pujian berupa “like” atau “retweet” di media sosial sebagai sumber kebahagiaan, pencapaian atau kemegahan. Maknanya anda akan terus berawangan di alam maya tanpa menyedari hakikat sebenar. Ingat, bukan semua komen positif itu datang dari hati dan bukan semua “like” benar-benar ikhlas.
2. Memilih sesuatu semata-mata untuk kelihatan unik di media sosial.
Ia lazimnya berlaku dalam perkara seperti menu makanan, tempat pelancongan dan risiko dalam memberi sesuatu pose. Ia mungkin ada kebaikannya tetapi ingat, kita akan hilang keutamaan pada diri sendiri tetapi hidup semata-mata untuk menarik perhatian orang dan menjadi seperti orang lain.
Misalnya di restoran, kita dengan sengaja memilih seuatu yang unik, lain daripada lain, semata-mata untuk memberi satu “review” segar, walaupun makanan itu tidak mengikut citarasa kita.
Mengambil “selfie” di tebing puncak. Merisikokan, tetapi, siapa kisah, yang penting bagi anda ialah “likes”.
3. Setiap detik jadi perkongsian, Instastory, Live-tweet, Live FB
Apa sahaja anda lakukan, rasanya macam hebat dan terbaik. Oleh itu anda kena rakam dan kongsi, biar sedunia melihat dan bercakap mengenainya. Tetapi apabila orang lain membuat perkara sama, ia agak menjengkelkan kepada anda. Anda buat video setiap hari beri nasihat mengenai mengurus kewangan sedangkan anda sendiri dikelilingi hutang, rakam gambar foto setiap pergerakan anda sedangkan ia rutin harian semua orang. Ini menunjukkan betapa tidak matangnya anda dan betapa anda “syok sendiri”.
4. Lupa #hashtag buat anda resah tak kena tempat
Setiap kiriman mesti disertakan dengan bertimbun-timbun #hashtag, semata-mata untuk melebarkan pencapaian. Pendek kata, anda mahu pastikan semua orang yang berpotensi mencari #hashtag itu mencapai kiriman anda. Terlepas satu #hashtag pun sudah cukup membuatkan anda resah.
5. Dalam masa setengah jam, anda sudah 2 kali periksa akaun media sosial
Maknanya, anda tidak boleh hidup tanpa media sosial dan asyik bergantung kepadanya. Sama ada untuk melihat jumlah “like” atau melihat “update” daripada rakan, mencari berita baharu yang dikongsi atau sekadar memuaskan diri. Cuba nilai diri anda sendiri dengan simpan telefon bimbit jauh-jauh dan elak melihat media sosial selama 2 jam, apa situasi anda? Kongsi bersama kami. Kami ingin tahu keparahan ketagihan anda.