
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, menteri pertahanan membawa “pengaruh tidak wajar” dengan meminta anggota tentera memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) melalui “mandat besar bagi memastikan agendanya dapat dicapai”.
Arshad yang memetik laporan Bernama berkata, “dengan membuat komen begitu, menteri pertahanan itu boleh dilihat mengugut, mendorong atau cuba mendorong anggota tentera mengundi BN. Oleh itu, beliau mungkin melakukan kesalahan memberi “pengaruh tidak wajar” di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.”
Beliau berkata, kenyataan Hishammuddin boleh ditafsirkan sebagai memberitahu anggota tentera mereka akan hilang “agenda” seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, kebajikan veteran dan hala tuju dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan serta keperluan keselamatan negara.
“Saya mahu mengingatkan menteri apa yang lebih penting bukan perkara yang dirancang seperti pendidikan, kebajikan atau hospital, tetapi bagaimana pegawai kerajaan melaksanakan rancangan tersebut.
“Tidak ada rasuah, pembaziran atau kronisme dalam pemberian projek,” katanya.
Arshad berkata, jika projek dirancang baik untuk rakyat dan negara, mana-mana kerajaan yang bersih boleh melaksanakannya.
“Paling penting ialah kerajaan yang bersih.”
Sebahagian besar anggota keselamatan negara mengundi awal hari ini.
Semalam, Hishammuddin dilaporkan berkata, warga tentera perlu memikirkan sedalam-dalamnya demi memastikan pasukan keselamatan negara terus mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kalau mandat yang besar tak dapat dikecapi, saya tengok mungkin lima tahun akan datang kita tak ada kerja lain, (asyik) berpolitik sahaja, terpaksa menangkis tuduhan-tuduhan yang tak berasas…bila nak buat kerja. Sebab itu mandat ini penting supaya kita (kerajaan BN) dapat buat kerja dan calon-calon kita (BN) diberikan tempat untuk wakili rakyat untuk merealisasikan agenda,” katanya semalam.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14