PM: Guan Eng hanya dipilih, belum angkat sumpah menteri kewangan

PM: Guan Eng hanya dipilih, belum angkat sumpah menteri kewangan

Perdana menteri berkata, Lim Guan Eng perlu bebas daripada kes mahkamah untuk dilantik sebagai menteri kewangan dan ketika ini tiada nama lain dalam pertimbangannya untuk jawatan itu.

PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) hanya akan dilantik sebagai menteri Kabinet selepas mereka bebas daripada kes mahkamah, ia termasuk Lim Guan Eng yang dipilih sebagai menteri kewangan.

“Dia dinamakan (menteri kewangan), tetapi dia belum angkat sumpah lagi. Kita kena jelas bahawa setiap menteri yang dilantik adalah orang yang layak, kalau ada kes kita tidak boleh lantik,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, ketika ini tidak ada nama lain dalam pertimbangannya, selain Lim untuk menjadi menteri kewangan.

Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah pertanian kepada kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga di bawah nilai pasaran, pada 30 Jun 2016.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut berdepan pertuduhan ke-2, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu lot tanah dan sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon, pada harga RM2.8 juta berbanding nilai pasaran hartanah ketika itu, RM4.27 juta.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan senarai 10 nama sebagai calon berpotensi dipilih sebagai menteri.

“Saya amat sibuk bertemu ramai orang, antaranya Wan Azizah yang datang untuk kemukakan cadangan dari PKR bagi jawatan Kabinet. Dia kemukakan 10 nama, walaupun kita minta 3.

“Kita akan pilih dari nama yang dikemukakan. Satu lagi parti adalah dari Amanah yang dilakukan Presidennya, Mohamad Sabu. Walaupun tidak bertemu saya, dia ada hantar surat.”

Pengerusi PH itu berkata, keputusan melantik menteri Kabinet bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan dan budi bicaranya.

“Pendirian kita adalah parti akan kemukakan nama dan saya akan putuskan siapa yang pegang jawatan dan kementerian. Keputusan dibuat oleh saya sebagai perdana menteri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.