
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) itu berkata, cadangan menubuhkan RCI itu bertujuan mengenal pasti kehilangan semua aset dan dana Felda, khasnya di bawah kepimpinan bekas pengerusinya, Tan Sri Isa Samad.
“Masyarakat Felda tidak tahu apa sebenarnya berlaku kepada kewangan Felda kerana kita mendapat gambaran keadaan kewangan Felda sangat kritikal.
“Menurut laporan ketua audit negara pada 31 Disember 2016, di mana kerugian bersih ditanggung Felda adalah RM1.3 bilion dan beban hutang RM6 bilion,” katanya di luar Menara Ilham selepas pertemuan 30 minit dengan Majlis Penasihat Kerajaan, hari ini.
Mazlan turut menyerahkan cadangan penambahbaikan Felda setebal 46 muka surat kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Prof Jomo Kwame Sundaram serta Tan Sri Oh Siew Nam yang mewakili Tan Sri Robert Kuok.
Antaranya ialah menyediakan bantuan sekurang-kurangnya RM1,000 berbanding RM900 ketika ini kepada peneroka menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan dan menuntut Pakatan Harapan (PH) mengotakan janji untuk melupuskan separuh daripada hutang peneroka.
“Kita telah bangkitkan janji (PH) 100 hari mengenai hutang peneroka Felda. Ia agak serius bila hutang peneroka mencecah RM100,000 seorang dan mungkin meningkat jika tidak ada mekanisme untuk tanganinya.”
Beliau turut menyarankan operasi anak syarikat Felda, Felda Techno Plant dikaji semula atau ditamatkan kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab kepada peneroka.
“Ada yang tidak dapat hasil, ada yang dapat hasil berbeza, malah ada yang rugi.”
Katanya, Felda juga memerlukan penstrukturan semula dan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) didakwa merugikan kerana sumber pendapatan Felda hilang hampir 60% atau RM1 bilion.
Selain Mazlan, Majlis Penasihat Kerajaan turut memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, bekas pengarah urusan Felda, Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope.