
FMT mendapati orang awam mula datang sejak Rabu lalu dan jumlahnya semakin ramai memandangkan hari ini ialah cuti hujung minggu.
Laluan ke rumah Najib juga agak sesak, khasnya waktu puncak 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan 4 hingga 6 petang.
Kini, dianggarkan 10 anggota polis juga masih mengawal di luar rumah Najib.
“Saya datang untuk bergambar kenangan di depan rumah Najib, kebetulan hari ini hari minggu,” kata seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Wong.
Seorang lagi pengunjung bernama Alex berkata, beliau simpati dengan nasib yang menimpa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Bagaimanapun, ada yang bertindak menyindir pasangan itu.

Sejak tengah hari tadi, rumah Najib sepi tanpa pengunjung memandangkan beliau dan Rosmah kini berada di Pekan, kunjungan pertama ke kawasan Parlimennya sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Rumah Najib di Taman Duta itu antara 6 premis yang diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sejak malam Rabu lalu.
Lima premis lain ialah 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.
Hasil pemeriksaan itu menyaksikan 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga dirampas.