
Suruhanjaya Guttmacher-Lancet mengenai Hak-hak Kesihatan Seksual dan Reproduktif, menyeru negara, agensi antarabangsa, kalangan penderma, kumpulan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan utama lain agar memberi komitmen kepada agenda baharu yang berani untuk mencapai akses sejagat bagi hak-hak kesihatan seksual dan reproduktif.
Suruhanjaya itu adalah satu kerjasama antara para pakar kesihatan, pembangunan dan hak asasi manusia dari seluruh dunia,
Agenda itu, yang dibentangkan dalam laporan baharu yang diterbitkan baru-baru ini dalam The Lancet, mengutara perkara ini berdasarkan bukti, satu visi masa hadapan yang bersesuaian, yang boleh dicapai dan penting ke arah pencapaian tahap kesihatan, pembangunan yang adil dan hak-hak asasi semua pihak.
Laporan itu, yang dilancarkan di sini, merangkumi hak semua individu untuk membuat keputusan mengenai tubuh dan kehidupan mereka – bebas daripada stigma, diskriminasi dan paksaan – dan mempunyai akses dalam hal-hal berkaitan seksual asas dan kesihatan reproduktif.
“Jurang dalam hak-hak kesihatan seksual dan reproduktif di seluruh dunia memberi kesan ketara terhadap individu, masyarakat dan ekonomi. Kita tidak seharusnya bertolak ansur dalam mendepani masalah ini,” kata Pengerusi bersama Suruhanjaya berkenaan dan bekas Pengarah Eksekutif bagi African Population and Health Research Center, Dr Alex Ezeh.
“Sudah tiba masanya untuk menghapuskan ketidaksamaan ini dengan pendekatan menyeluruh yang tidak mengetepikan komponen kritikal seperti akses kepada pengguguran kandungan secara berbahaya dan tidak sah, pencegahan pembiakan kanser, atau rawatan kemandulan.”
Laporan Suruhanjaya itu memperincikan betapa pentingnya keperluan kesihatan seksual dan reproduktif. Setiap tahun di kawasan membangun:
- lebih 200 juta wanita ingin mengelak kehamilan tetapi tidak menggunakan kontrasepsi moden
- lebih 45 juta wanita tidak menerima penjagaan antenatal yang mencukupi, atau tidak sama sekali
- lebih 30 juta wanita bersalin tanpa kemudahan kesihatan
Setiap tahun, di seluruh dunia:
- berlaku 25 juta pengguguran kandungan secara berbahaya
- kira-kira 180 juta pasangan mungkin mengalami ketidaksuburan
- hampir 2 juta orang dijangkiti HIV
- kira-kira 266,000 wanita mati akibat kanser serviks
- pada satu ketika dalam hidup mereka, kira-kira satu dalam 3 wanita di seluruh dunia berhadapan keganasan berasaskan gender, kebanyakannya melibatkan pasangan sendiri.
“Sejak sekian lama, dunia menerima realiti buruk ini sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Laporan kami menunjukkan bagaimana keadaan itu dapat diatasi, dengan merangka rancangan sokongan yang boleh digunakan oleh negara berkaitan dalam menyediakan perkhidmatan asas serta tindakan yang perlu,” kata Pengerusi bersama Suruhanjaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Guttmacher Institute Ann M Starrs.
“Kami mempunyai pengetahuan dan kaedah untuk mencapai matlamat hak-hak kesihatan seksual dan reproduktif sejagat. Perkembangan baik boleh dicapai, berpatutan dan penting.”

Suruhanjaya itu melaporkan untuk memenuhi keperluan kaedah pencegahan hamil moden, pengguguran kandungan cara selamat, serta penjagaan kesihatan ibu dan bayi yang baru lahir di negara-negara membangun akan melibatkan belanja kira-kira AS$9 (RM36) seorang setahun.
Ini adalah pelaburan yang berpatutan, terutamanya memandangkan separuh daripada jumlah itu dibelanjakan untuk menampung kos penjagaan semasa dan boleh menghasilkan pulangan besar.
Akses kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif boleh menyelamatkan nyawa, meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan, menggalakkan kesaksamaan gender dan meningkatkan produktiviti serta pendapatan isi rumah.
Suruhanjaya itu menegaskan usaha meningkatkan kesihatan bukan sahaja bergantung kepada pelaksanaan program yang berkesan, tetapi juga untuk mempertingkat hak termasuk yang sering diabaikan dalam perbincangan global, seperti kebebasan hak untuk memilih pasangan seks dan hak penjagaan bagi pengguguran kandungan secara selamat dan sah.
Pesuruhjaya-pesuruhjaya itu menyeru agar negara berkaitan menangani norma-norma sosial, undang-undang dan dasar yang terbatas, dan memastikan agar kerajaan bertanggungjawab terhadap komitmennya.
“Langkah melancarkan laporan Suruhanjaya Guttmacher-Lancet di sini di Afrika Selatan amat sesuai, di mana kami berbangga kerana termaktub mengenai hak-hak kesihatan seksual dan reproduktif dalam Perlembagaan kami,” kata Menteri Kesihatan Afrika Selatan Dr Aaron Motsoaledi.
“Kami tahu, di seluruh dunia, pelaburan dalam hak-hak kesihatan seksual dan reproduktif menghasilkan pulangan yang besar untuk individu, komuniti dan kerajaan.”
Suruhanjaya itu juga menegaskan pentingnya mengumpul lebih banyak bukti mengenai keperluan kesihatan seksual dan reproduktif dalam kepelbagaian penduduk, yang sering dipinggirkan dan lemah, termasuk golongan remaja, kalangan yang mempunyai orientasi seksual yang pelbagai dan kecelaruan identiti gender, golongan pelarian, serta orang kurang upaya.
Suruhanjaya Guttmacher-Lancet terdiri daripada 16 pesuruhjaya termasuk dari Afrika, Asia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Utara dan Amerika Selatan, yang masing-masing mempunyai kepakaran dan pengalaman pelbagai disiplin dalam bermacam-macam isu hak kesihatan seksual dan reproduktif. Dari 2016 hingga 2018, suruhanjaya itu mengadakan banyak rundingan dan sintesis, bukti yang ada dengan sokongan penyelidik di Guttmacher Institute, the African Population and Health Research Center dan organisasi lain yang bergabung dengan beberapa pesuruhjaya lain.
Guttmacher Institute adalah organisasi penyelidikan dan dasar yang terkemuka, komited untuk memajukan hak-hak seksual dan kesihatan reproduktif di Amerika Syarikat dan global manakala The Lancet adalah salah satu jurnal perubatan terkemuka di dunia, diterbitkan setiap minggu sejak tahun 1823.