
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata istiadat itu akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
“Sehubungan dengan istiadat pelantikan yang bakal berlangsung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan turut melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor berkuat kuasa pada tarikh sama (19 Jun),” katanya dalam satu kenyataaan.
Selangor bakal mendapat menteri besar baharu selepas Azmin yang dilantik untuk penggal ke-2 sebelum ini menyertai kerajaan Persekutuan sebagai menteri hal ehwal ekonomi.
Azmin, 54, yang juga timbalan presiden PKR mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 September 2014.
Antara wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut bakal menggantikan Azmin ialah Adun Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Adun Sungai Tua Amirudin Shari, Adun Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei, Adun Ijok Dr Idris Ahmad dan Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman.