Kami akan patuhi terma Perjanjian Air 1962, kata Singapura

Kami akan patuhi terma Perjanjian Air 1962, kata Singapura

Menteri luar Singapura berkata, isu utama 'bukan berapa banyak kita bayar, tetapi bagaimana sebarang semakan harga diputuskan'.

Free Malaysia Today
Singapura berharap Malaysia juga akan mematuhi terma Perjanjian Air 1962 antara 2 negara sepenuhnya. (Gambar Reuters)
SINGAPURA:
Singapura akan mematuhi sepenuhnya terma Perjanjian Air 1962 dengan Malaysia, termasuk harga air yang termaktub di bawah perjanjian itu dan berharap Malaysia juga akan berbuat demikian, lapor akhbar The Straits Times hari ini.

Laporan itu yang memetik Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan di Parlimen hari ini, berkata perjanjian 1962 itu “bukan perjanjian biasa”.

“Perjanjian Air 1962 dijamin oleh Singapura dan Malaysia di bawah Perjanjian Pemisahan 1965 yang kemudian didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Sebarang pelanggaran Perjanjian Air 1962 akan menyebabkan Perjanjian Pemisahan yang menjadi asas bagi kewujudan Singapura sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat dipersoalkan.”

Balakrishnan berkata, menteri luar terdahulu pernah menyuarakan pendirian Singapura tentang isu ini secara komprehensif, iaitu Professor S Jayakumar pada 2003 dan K Shanmugam pada 2014.

“Seperti ditegaskan ketika itu, isu utama ‘bukan berapa banyak kita bayar, tetapi bagaimana sebarang semakan harga diputuskan’,” kata Balakrishnan.

“Baik Malaysia mahupun Singapura, tidak boleh secara unilateral mengubah terma perjanjian ini antara kedua-dua negara kita.”

Menurut laporan itu, ia membabitkan kos RM2.40 bagi Singapura untuk merawat setiap 1,000 gelen air dan kemudian menjualnya kepada Malaysia pada harga 50 sen, Singapura menyediakan subsidi RM1.90 bagi setiap 1,000 gelen.

Setelah membeli air dirawat, Johor kemudian menjualnya kepada rakyat pada harga RM3.95 bagi setiap 1,000 gelen, dengan memperoleh keuntungan RM3.45 bagi setiap 1,000 gelen atau RM46 juta setahun, kata laporan itu.

Bulan lepas, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mengkritik Perjanjian Air 1962 “terlalu mahal” dan kemungkinan mahu merundingkan semula perjanjian itu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata harga baru itu mungkin sama dengan harga air mentah yang ditetapkan bagi kerajaan Melaka, iaitu 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Menurut perjanjian air antara Malaysia dan Singapura, yang tempohnya berakhir 2061, Malaysia membekalkan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli semula sebahagian air yang dirawat pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.