Agong sokong kerajaan hapus GST, telus urus kewangan

Agong sokong kerajaan hapus GST, telus urus kewangan

Sultan Muhammad V turut memuji tindakan kerajaan mengkaji kos projek mega dan mengurus kewangan secara berhemah.

Free Malaysia Today
Sultan Muhammad V meminta kerajaan mencari jalan mengatasi ketidaktentuan ekonomi, konflik politik dan ancaman fahaman radikal.
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong menyokong tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak serta memberi bantuan sara hidup dalam usaha meringankan beban rakyat.

Sultan Muhammad V ketika berucap merasmikan Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 turut memuji ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.

“Beta mengalukan-alukan pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemah.

“Pada masa yang sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara.”

Kerajaan PH berjanji akan menghapuskan GST menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 dan Kementerian Kewangan menurunkan kadar GST kepada 0% mulai 1 Jun lalu.

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menggantikan GST mulai 1 September nanti, serta dijangka menyumbang RM4 bilion kepada pendapatan negara.

Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan GST pada kadar 6% mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan SST akan dikuatkuasakan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% perkhidmatan dan rang undang-undang cukai itu dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan.

Kerajaan PH turut mengkaji semula pelaksanaan beberapa projek mega, termasuk projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang didakwa menyebabkan hutang negara meningkat.

Sementara itu, Agong meminta kerajaan mencari jalan menghadapi ketidaktentuan ekonomi, konflik politik, ancaman fahaman radikal yang akan terus mempengaruhi geopolitik dan ekonomi dunia serta krisis kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, baginda memulakan ucapannya dengan meminta semua ahli Parlimen kekal dalam dewan.

“Ahli-ahli berhormat sila duduk, jangan lari,” katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Semalam, semua ahli Parlimen pembangkang, kecuali 3 orang, keluar dewan kerana mendakwa pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker melanggar peraturan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Barisan Nasional dan PAS mendakwa Pakatan Harapan tidak menyerahkan nama speaker kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah bagaimanapun mengesahkan pihaknya menerima notis pencalonan speaker pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.