
Beliau berkata demikian selepas Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor berkata Pakatan Harapan perlu menang besar pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis bagi menghalang parti Melayu dan Islam utama itu bergabung.
“Kalau perlu satu hari nanti Umno dan PAS wujudkan satu parti politik…Alhamdulillah. Kalau tak boleh, mereka duduk dalam entiti masing-masing tetapi mereka perlu duduk dalam satu gabungan,” katanya ketika berkempen hari ini.
Lokman yakin ahli Umno dan PAS akan terbuka hati untuk bersama.
“Saya nampak setakat ini orang Umno tak ada masalah, mereka semua amat mengharapkan penyatuan ini sebab kita tahu, kita tak boleh bersendirian,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq berkata Umno dan PAS pada PRK kali ini sedang menguji keadaan dengan mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.
Oleh itu, Syed Saddiq percaya Umno dan PAS akan bergabung pada pilihan raya umum akan datang sekiranya PH tidak peroleh kemenangan besar.
“Saya sangat bersetuju dengan pandangan Syed Saddiq. PRK Sungai Kandis medan uji yang pertama,” katanya.
“Kita perlukan PAS bersama kita. Sekiranya semua Melayu bersatu, saya percaya bukan Melayu akan bersama kita,” tambahnya.
PAS pada 17 Julai lalu mengulangi tidak akan bergabung dengan Umno walaupun kedua-dua parti bekerjasama dalam beberapa perkara.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata PAS tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana mana parti namun bertegas ia tidak akan membawa kepada penggabungan.
Akhbar Singapura, Straits Times (ST) pada Jun melaporkan hanya 25-30% pengundi Melayu memilih PH berbanding kira-kira 95% pengundi Cina dan 70-75% pengundi India pada pilihan raya baru-baru ini, memetik kajian Merdeka Centre.
Kajian itu mendapati kira-kira 35-40% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dan 30-33% menyokong PAS.
Ini bermakna minimum 65% atau maksimum 73% orang Melayu bersama pembangkang nasional sekarang.