
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya berkata berkata bidang kuasa jemaah itu akan diputuskan oleh ahli parlimen Gua Musang berkenaan.
“Umno juga akan menubuhkan 9 majlis yang meliputi beberapa tanggungjawab bagi memperkasakan Umno sebagai pertubuhan politik.
“Di samping itu kita juga mewujudkan 10 sekretariat. Ia merangkumi isu mutakhir yang melibatkan beberapa perubahan dasar yang kita lihat harus ditangani oleh Umno yang mengambil kira isu rakyat,” katanya.
Keahlian Umno kini 16 tahun
Zahid juga mengumumkan Umno akan menurunkan keahlian parti itu daripada umur 18 kepada 16 tahun yang dilihat bersesuaian dengan perubahan baharu parti itu.
“Kita harus bersiap siaga dan kita merasakan belia yang diiktiraf nasional dan antarabangsa ialah 15 tahun.
“Kita mengambil 1 tahun lewat daripada definasi umur belia,” katanya.
Ditanya adakah penurunan umur keahlian parti itu akan menambahkan bilangan ahli parti yang sehingga kini mencecah 3 juta, beliau berkata: “Kita akan lakukan pemutihan kepada ahli parti di mana kita akan keluarkan ahli parti yang meninggal dunia atau keluar dari parti.”
Zahid turut mengumumkan Perhimpunan Agung Umno 2018 akan bermula pada 29 September ini yang melibatkan sayap-sayap parti itu.
“Manakala 30 September, hanya satu hari sahaja perhimpunan agung Umno,” katanya.
Zahid menjelaskan, pihaknya menukar tarikh perhimpunan daripada Disember kepada September disebabkan tidak perlu tunggu lewat daripada tarikh berkenaan.
“Sebab kita dah adakan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan tertinggi. Oleh sebab itu perhimpunan agung kali ini penting untuk melihat ianya disegerakan kerana kita merasakan usul yang akan dikemukakan hanya usul presiden sahaja,” katanya.
Zahid turut menyatakan akaun parti itu masih lagi dibekukan dan parti itu memerlukan duit berkenaan.
“Kita telah melantik firma guaman untuk failkan tuntutan kita.”