Ringgit terus jatuh, cecah paras terendah dalam 11 bulan

Ringgit terus jatuh, cecah paras terendah dalam 11 bulan

KDNK Amerika Syarikat berkembang sebanyak 3.5% dalam suku ketiga, dengan inflasi rendah dan perbelanjaan pengguna melonjak.

Sehingga hari pembentangan Bajet, pelabur dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam usaha memahami hala tuju kerajaan baru. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Ringgit terus turun bagi tempoh 8 hari dagangan berturut-turut, mencecah paras terendahnya dalam tempoh 11 bulan apabila dolar AS semakin mengukuh.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada paras 4.1740/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1770 pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata dolar AS terus mengukuh apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) berkembang sebanyak 3.5% dalam suku ketiga, dengan inflasi rendah dan perbelanjaan pengguna melonjak.

“Ia menjadikan dolar semakin kukuh dan menarik lebih ramai pelabur ke AS,” katanya.

Beliau berkata, di dalam negara, meskipun harga minyak meningkat kepada AS$77.94 setong, para pelabur masih tidak memasuki pasaran sementara menunggu pengumuman Bajet 2019 pada Jumaat ini.

“Sehingga hari pembentangan Bajet, para pelabur dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dalam usaha untuk memahami hala tuju kerajaan yang baru dilantik,” katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0222/0256 daripada 3.0154/0189 pada Jumaat, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7281/7327 daripada 3.7282/7321.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3544/3612 daripada 5.3419/3495 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7538/7596 daripada 4.7384/7438.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.