
Katanya, Ismail Sabri Yaakob sepatutnya menyedari 9% rakyat Malaysia adalah penganut Kristian.
Menurutnya, beliau dimaklumkan penganjur acara berkenaan bahawa pejabat Ismail tidak memberi maklum balas terhadap jemputan ke acara itu. Ini jauh berbeza Perdana Menteri terdahulu yang bukan saja memberi jawapan malah hadir demi semangat perayaan.
Katanya, pada tahun sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak semua pasti menghadiri acara tahunan itu bagi menunjukkan mereka Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
“Malah ada satu tahun apabila Muhyiddin Yassin mewakili kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana Najib berada di luar negara. Inilah Malaysia yang kita mahukan dan harapkan kerana menunjukkan inklusiviti.”
Ismail membuat ucapan Krismas di Facebooknya dengan meminta rakyat tidak melupakan mereka yang terkesan akibat banjir selain sentiasa mematuhi SOP untuk menjaga keselamatan.
National Christian Evangelical Federation (NECF) yang menganjurkan acara itu tahun ini berkata, jemputan untuk acara itu dihantar seperti tahun terdahulu.
“Saya fikir mungkin kerana Perdana Menteri terpaksa menangani banjir besar yang melanda. Saya percaya itu adalah keutamaannya sekarang,” kata Presiden NECF Eu Hong Seng ketika dihubungi FMT.
Dalam ucapannya sebelum ini, Eu berkata CFM memuji semangat Malaysia sejati yang saling memberi sokongan dengan mengetepikan sempadan agama dan kaum.
“Ramai yang keluar membantu menyelamat ribuan orang terperangkap dalam banjir, turut mendirikan dapur untuk memasak, mencari bot dan menghantar barang keperluan sehingga awal pagi – semuanya adalah rakyat biasa.
“Begitu banyak kuil, gereja, gurdwara, masjid dan NGO membuka tempat perlindungan dan menjadi pusat pengagihan bantuan. Apa yang kita lihat hari ini adalah kejayaan rakyat marhaen,” katanya.