Lebih 100 orang awam terbunuh dalam perang Ukraine

Lebih 100 orang awam terbunuh dalam perang Ukraine

Bilangan kematian mungkin lebih tinggi dengan 406 mangsa awam termasuk yang mengalami kecederaan direkodkan sejak Rusia melancarkan serangan Khamis lalu.

Seorang wanita dan anaknya mendapatkan perlindungan di Mariupol pada Khamis. (Gambar AP)
GENEVA:
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia berkata sekurang-kurangnya 102 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak terbunuh di Ukraine sejak Rusia melancarkan serangannya lima hari lalu.

Michelle Bachelet yang berucap di Majlis Hak Asasi Manusia PBB turut memberi amaran bilangan kematian mungkin lebih tinggi malah pejabatnya merekodkan 406 mangsa awam termasuk yang mengalami kecederaan, sejak Rusia melancarkan serangan besar-besaran pada Khamis lalu.

“Kebanyakan orang awam ini terbunuh akibat letupan yang mempunyai impak terhadap kawasan luas, termasuk dibedil meriam dan peluru berpandu, selain serangan udara,” katanya.

Beliau menegaskan bilangan kematian dibimbangi jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Katanya, jutaan rakyat termasuk golongan lemah dan warga emas dalam kesengsaraan, malah terpaksa berlindung daripada letupan termasuk di stesen bawah tanah.

Menurutnya, agensi pelarian PBB setakat ini merekodkan 368,000 pelarian dari Ukraine, manakala lebih ramai lagi yang hilang tempat tinggal masih berada di negara itu.

Kenyataan Bachelet itu dibuat pada awal sesi tahunan majlis hak asasi utama PBB berkenaan, yang dimulakan dengan undian untuk perbahasan segera mengenai konflik di Ukraine pada minggu ini.

Ukraine yang meminta perbahasan itu diadakan, dijangka membentangkan resolusi menggesa siasatan terhadap serangan Moscow berkenaan.

Rusia menolak permintaan Ukraine untuk perbahasan, sebaliknya menggesa isu itu diundi. Bagaimanapun, majoriti negara anggota menyokong permohonan Kyiv itu.

Duta Ukraine ke Geneva, Yevheniia Filipenko menyifatkan tindakan Rusia sebagai serangan terhadap masyarakat dunia.

“Ia bukan sekadar serangan terhadap Ukraine malah ke atas setiap negara anggota PBB, PBB sendiri dan prinsip yang menjadi asas organisasi ini,” katanya.

Beliau mendakwa lebih 350 orang maut sejak serangan bermula lima hari lalu, termasuk 16 kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.