Masih di peringkat kajian, kata PM berhubung pelaksanaan semula GST

Masih di peringkat kajian, kata PM berhubung pelaksanaan semula GST

Ismail Sabri Yaakob berkata tiada sebarang pengumuman daripada beliau bahawa kerajaan akan melaksanakan semula GST dalam masa terdekat.

Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang paling penting adalah rakyat perlu difahamkan terlebih dahulu sekiranya kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sebarang sistem percukaian baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan pelaksanaan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) masih di peringkat kajian, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tiada sebarang pengumuman daripada beliau bahawa kerajaan akan melaksanakan semula GST dalam masa terdekat.

Katanya, sebaliknya satu kajian dan pertimbangan termasuk kesan pelaksanaan semula sistem percukaian itu sedang dilakukan.

“Ramai orang terus melompat bila saya berkata tidak menolak kemungkinan (untuk melaksanakan semula GST), tapi saya kata perlu dikaji, kita perlu kaji buruk dan baiknya.

“Bukan saya umumkan akan melaksanakan GST, saya kata kita akan buat kajian sebab kajian mendapati kita kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana berpindah daripada GST kepada SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” katanya, menurut laporan Bernama.

Baru-baru ini, Ismail dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan sebagai berkata GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Jelasnya, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem percukaian itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara, bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Kata Ismail, apa yang paling penting adalah rakyat perlu difahamkan terlebih dahulu sekiranya kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sebarang sistem percukaian baharu.

“Kalau kita rasa SST dah tak sesuai, (sistem percukaian) apa yang kita nak gantikan dan rakyat perlu difahamkan dahulu. Kita hendak supaya apa yang kita umumkan diterima rakyat, bukan ditolak rakyat.

“Kita banyak pertimbangan lagi yang akan kita tengok. Adakah kesan daripada GST itu berlaku kenaikan harga, adakah waktunya sesuai sekarang ini ataupun akan datang, berapa tahun lagi. Jadi jangan risau, sampai masanya kita akan dedahkan, kita akan umumkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.