Datuk Liang Teck Meng berkata, anggota PAC perlu menunaikan tugas mereka sebagai Anggota Parlimen dan memberi fokus terhadap fakta dan bukti, bukannya dengan mewujudkan persepsi tidak benar.
“Saya ingin menasihati anggota berkenaan supaya berhenti bermain politik kotor, sebaliknya menunaikan tugas secara terhormat sebagai Anggota Parlimen dan berkhidmat untuk orang ramai serta memberi fokus kepada fakta dan bukti berasaskan siasatan dan penghakiman mengenai 1MDB,” kata Liang, yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam, dalam laman Facebooknya hari ini.
Liang bagaimanapun, tidak menyebut nama Anggota Parlimen berkenaan.
Menurut laporan media, Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP Tony Pua telah menulis mahu mendedahkan orang yang menjadi ‘penyangak’ di belakang 1MDB dalam laman Facebooknya pada 1 Januari lepas.
“Anda bertanggungjawab kepada pengundi anda untuk mendedahkan perkara sebenar, bukan mewujudkan persepsi tidak benar, Yang Berhormat. Berhentilah daripada bermain-main,” kata Liang.
Liang berkata, orang yang waras tidak akan sekali-kali cuba menimbulkan prejudis dan mengaibkan diri sendiri serta PAC dengan cara itu, melainkan beliau mempunyai agenda politik tersembunyi yang tidak berasaskan kebenaran atau fakta sebagai bukti.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada anggota PAC berkenaan sengaja mahu beliau digantung atau dipecat daripada tugas menjalankan penyiasatan terhadap 1MDB apabila beliau secara terang-terangan dan berulang kali melanggar arahan tetap Parlimen dan PAC.
“Yang Berhormat ini secara jelas membuat dakwaan berasaskan pendapatnya yang berat sebelah, bukan berasaskan akaun atau temubual dengan banyak saksi yang dipanggal PAC setakat ini – dan sudah tentu tidak berasaskan apa yang dimaklumkan oleh para juruaudit kepada kami.
“Dengan secara terang-terangan mengharapkan beliau digantung menjelang hasil akhir siasatan terhadap 1MDB, adakah beliau mahu membuat kesimpulan awal mengenai hasil itu agar beliau dianggap menjadi mangsa bagi mewujudkan persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa beliau dihalang secara tidak adil daripada ‘membongkarkan kebenaran serta mendedahkan mereka yang menjadi penyangak” katanya.
