Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad, berkata ia turut dibimbangi menjejaskan penguatkuasaan pensijilan halal serta peranan jawatan mufti.
“Identiti agama kita yang dilindungi oleh Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan bukan sekadar agama rasmi, apatah lagi sekadar sebuah negara sekular.
“Jadi ini dilindungi oleh Perlembagaan dan juga dijalankan serta dikuatkuasakan oleh pelbagai agensi agama sebagai contoh JAKIM yang pasti akan terjejas,” katanya dalam ucapan di Sidang Kemuncak TPPA 2016 di sini, semalam.
Memetik laporan ismaweb.net, Muhammad Lukman turut mempersoalkan bagaimana nasib generasi akan datang jika TPPA ditandatangani oleh Malaysia.
“Bagaimana mereka mahu bertahan, kita tidak memerlukan suatu yang baru dalam masa sekarang. Tanpa TPPA kita sudah melihat kehancuran generasi ini,” katanya.
Katanya, apakah menteri akan terus memperjuangkan perjanjian TPPA sekiranya mereka berada di kedudukan sama sebagai rakyat biasa.
“Saya harap menteri berdiri menyatakan pandangan peribadi sebagai manusia dan orang Islam Melayu dan bukan posisi menteri.
“Adakah mereka akan memperjuangkan TPPA atau membantah sebagai mana kita semua bantah,” soalnya.
