Najib mahu perbelanjaan kerajaan dioptimumkan

Najib mahu perbelanjaan kerajaan dioptimumkan

Perdana Menteri mahu anggota pentadbiran awam kreatif berbelanja dan bukan guna pendekatan jimat dalam pentadbiran.

najib,penjawat-awam

PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota pentadbiran awam melaksanakan langkah mengoptimumkan perbelanjaan dan bukan mengenakan pendekatan jimat cermat dalam pentadbiran pada tahun ini.

Dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi 2016, di sini hari ini, Najib juga mahu penjawat awam menggunakan daya fikiran kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau menegaskan dua perkara tersebut perlu menjadi tumpuan utama dalam pentadbiran kerajaan pada tahun ini bagi menangani faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh Malaysia.

“Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah ‘austerity’ (jimat cermat) potong sana potong sini, tetapi kita melihat bagaimana setiap ringgit yang akan dibelanjakan boleh mendatangkan hasil dan kesan yang paling besar.

“Selain itu, kita boleh tambah lagi usaha kita bukan bermaksud kerja keras sahaja, tetapi menggunakan minda kita berfikir secara kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti. Saya selalu tekankan ‘give me solution’ (beri saya penyelesaian),” katanya, seperti dilapor BERNAMA.

Najib berkata, beliau juga bercadang menubuhkan satu kumpulan kecil bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara bagi menyelesaikan projek yang lambat dilaksanakan.

“Kita akan panggil agensi atau kementerian berkaitan untuk melihat apa yang menyebabkan sesuatu projek itu lambat.

“Kita akan lihat jika ada proses yang melambatkan, menyusahkan. Saya minta pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) jadi sekretariat bagi mengenal pasti tempat-tempat tertentu yang boleh diberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata, anggota pentadbiran kerajaan juga perlu kembali kepada agenda rakyat didahulukan dan ‘people’s economy’ (ekonomi keperluan rakyat).

Katanya, walaupun rakyat memahami keadaan ekonomi adalah di luar kawalan negara, namun, mereka mengharapkan agar segala projek dan program kerajaan dapat diberi tumpuan sepenuhnya.

Najib berkata, soal berbangkit yang diuar-uarkan pada pertengahan tahun lepas telah terjawab dan kerajaan hari ini terbukti mendapat sokongan Parlimen apabila Bajet 2016 diluluskan dengan majoriti meyakinkan.

“Ayuh terus maju. Agenda kita besar, agenda kita untuk negara, untuk rakyat dan untuk kesejahteraan kita bersama.

“Isu sensitif kita cuba cari jalan penyelesaian. Jangan biarkan ia menjadi duri dalam daging yang boleh menyebabkan masalah dari segi keselamatan atau hubungan kaum sesama kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.