Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) itu berkata, Husam tidak ada arah tuju kerana masih bersama PAS walaupun lantang mengkritik kepimpinan dan dirujuk ke Jawatankuasa PAS Pusat.
“Mana arah tuju Husam sebenarnya? Husam ini jiwa dia dengan AMANAH.
“Sebenarnya Husam takut nak keluar dari PAS kerana takut dengan baiah. Di Kelantan ada baiah, jika dia keluar ke parti lain maka jatuhlah talak tiga kepada isterinya,” katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat Perkasa di sini hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa, Husam sengaja mengkritik kepimpinan parti itu dengan harapan beliau dipecat.
Menurutnya, jika PAS memecat Husam, ia sekaligus menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu terlepas daripada sumpah baiah.
“Dia kritik PAS sebab dia berharap PAS pecat dia dan maka terlerailah baiah.
“Sekarang ini beliau tunggu masa Dewan Rakyat bubar maka tidak akan ada baiah dan beliau boleh sertai AMANAH,” jelasnya
Husam sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan PAS dan serangan itu lebih ditujukan kepada Presidennya dengan mendakwa Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah merancang untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.
