Pengasas Katibah Nusantara dalang pengeboman Jakarta

Pengasas Katibah Nusantara dalang pengeboman Jakarta

Pengeboman dikaitkan dengan arahan 'Khalifah' Abu Bakr al-Baghdadi yang mahu militan IS melakukan serangan berani mati.

indo-IS
JAKARTA: Polis memburu Muhammad Bahrun Naim, yang dipercayai dalang dalam serangan bom dan senjata api di Sarinah Thamrin di sini, semalam.

Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian, berkata berdasarkan risikan dan maklumat, polis percaya Muhammad Bahrun adalah dalang kejadian itu yang menyebabkan tujuh orang mati dan lebih 20 orang parah, semalam.

Mohammed Bahrun merupakan pengasas kumpulan Katibah Nusantara yang mahu menjadi pemimpin cawangan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Asia Tenggara serta bersaing dengan pemimpin pengganas di negara Asia Tenggara, katanya.

Kegiatan Katibah Nusantara dikaitkan dengan arahan ketua kumpulan IS, Abu Bakr al-Baghdadi, yang pernah mengeluarkan arahan supaya anggotanya di luar Syria dan Iraq mengadakan serangan berani mati.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat, Muhammad Bahrun kini dipercayai berada di Raqqa, Syria iaitu pusat pemberontak yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang negara Islam Iraq dan Syria.

Muhammad Bahrun Naim atau Anggih Tamtomo atau turut dikenali sebagai Abu Rayan berusia 32 tahun dan alamat terakhirnya ialah di RW 1 Kelurahan Sangkrah, Kecamatan Pasar Kliwon, Solo, iaitu alamat rumah kedua orang tuanya, Fathurrahman dan Siti Thoyyibah.

Dalam kejadian serangan bom dan senjata api pagi semalam, tujuh orang mati termasuk lima daripadanya adalah suspek pengganas manakala lebih daripada 20 orang termasuk lima anggota polis yang dilaporkan parah.

Kumpulan pengganas terbabit memulakan serangan di Restoran Starbucks di Gedung Cakrawala, Jalan MH Thamrin di sini dengan melemparkan bom dan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum ditembak mati oleh pasukan polis.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.