
Menurut Penasihat Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, Shahrom, 36, berjaya sampai ke mercu tanda titik sifar darjah Kutub Selatan pada pukul 4.30 pagi Sabtu waktu Malaysia (5.30 petang Jumaat waktu tempatan).
Beliau berkata, Shahrom menamatkan misi itu dengan berski dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan sejauh 890 kilometer.
Katanya, Shahrom yang berasal dari Gua Musang, Kelantan bukan sahaja berjaya menamatkan misi itu, malah melakukannya dalam tempoh yang lebih singkat berbanding jangkaan awal selama 50 hingga 60 hari.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana Shahrom berjaya menamatkan misi merentas Kutub Selatan itu, sekali gus membuktikan sesungguhnya anak Malaysia mampu melakukan apa sahaja cabaran,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan Shahrom itu juga menandakan satu lagi pencapaian bertaraf dunia yang berjaya dicatat rakyat Malaysia.
Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri dan Penasihat Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), kejayaan dan pencapaian Shahrom wajar menjadi kebanggaan kerana Shahrom menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan ekspedisi merentas Kutub Selatan sejauh hampir 1,000 km menggunakan ski.
“Saya juga telah maklumkan kepada Datuk Seri Najib Razak pagi tadi mengenai kejayaan ini kerana beliau sangat mengambil berat mengenai perjalanan ekspedisi serta keselamatan Shahrom.
“Beliau tahu bagaimana kesukaran melakukan ekspedisi di sana kerana pernah menjejak kaki di Antartika. Beliau merasa sangat gembira mendengar berita kejayaan ini,” katanya.
Shahrom memulakan ekspedisinya pada 9 Dis 2015 selepas tarikh asalnya tertangguh selama dua minggu akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan.
Misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan Perdana Menteri pada awal Julai 2015.
– BERNAMA