Tahanan dakwa didera mungkin ada motif tertentu

Tahanan dakwa didera mungkin ada motif tertentu

KPN minta pengadu membuat laporan polis supaya dakwaan mereka boleh disiasat.

khalid-sosma
PETALING JAYA: Tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang mendakwa didera semasa dalam tahanan mungkin mempunyai motif tertentu.

Justeru, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pengadu yang menyerahkan surat yang menceritakan penderaan mereka kepada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), diminta membuat laporan polis.

“Mereka itu merupakan tahanan. Mereka boleh buat bermacam dakwaan terhadap kami (polis), dan mungkin mereka ada motif tertentu.

“Sama ada betul atau tidak (dakwaan mereka itu), kita harus siasat,” kata Khalid kepada FMT dalam satu teks pesanan ringkas, hari ini.

Semalam, tahanan terbabit mendakwa polis memaksa mereka membuat kenyataan palsu, memaksa mereka menonton video lucah dan onani.

Seorang tahanan mendakwa polis memaksa dia menjatuhkan talak ke atas isteri, dan mengancam untuk mengambil anak daripada isterinya itu dan menghantar si isteri ke Kemboja untuk dijadikan pelacur.

Sementara itu, Timbalan Presiden GERAKAN Dr Cheah Sooh Hai mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu, dan menyeru polis dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya melancarkan siasatan.

“Pihak berkuasa perlu menjelaskan pendedahan mengejutkan itu, dan membawa mereka yang bertanggungjawab keatas tindakan kejam dan mencabul hak asasi manusia itu ke muka pengadilan.

“Jabatan Penjara selaku entiti pemulihan yang profesional haruslah melaksanakan tugas keinstitusiannya. Penderaan dan penyeksaan keatas banduan atau tahanan tidak patut berlaku di Malaysia – kita harus cantas isu ini sebelum ia menjadi amalan biasa di penjara,” kata Cheah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.