
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah melakukan dan memulakan komunikasi lucah secara sedar dalam bentuk video kepada seorang wanita menggunakan e-mel.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan semalam, berkata tertuduh dikenali Azmi Yahya menghantar video lucah itu menggunakan akaun e-melnya kepada akaun e-mel milik wanita berkenaan.
Tertuduh dijatuhi hukuman pada 15 Januari lalu, selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Perbuatan menghantar kandungan lucah menerusi e-mel merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
-BERNAMA