Lelaki parah kena renjatan elektrik ketika curi kabel

Lelaki parah kena renjatan elektrik ketika curi kabel

Suspek berusia 35 tahun terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong untuk mencuri di rumah sub stesen TNB

polis

KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditemui cedera parah disyaki terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel jenis tembaga di sebuah rumah sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pangsapuri Seri Seroja, Bukit Beruntung semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam, berkata kejadian itu berlaku pada jam 11 malam apabila orang awam melihat seorang lelaki pengsan dalam keadaan terbakar.

Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun itu disyaki menceroboh masuk ke sub stesen itu untuk mencuri kabel namun terkena renjatan elektrik ketika cuba memotongnya.

Berikutan itu, suspek dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

“Pihak TNB mengesahkan menerima panggilan dari Pusat Pemulihan Bekalan TNB mendapati bahawa kabel jenis tembaga itu telah dibuka dan terdapat seorang lelaki pengsan berhampiran rumah sub stesen berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Supramaniam berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan mencuri kabel itu bersama beberapa rakan lain dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti mereka yang masih bebas.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.