Bashah tekad BN menang 2/3 kerusi DUN Kedah pada PRU-14

Bashah tekad BN menang 2/3 kerusi DUN Kedah pada PRU-14

Menteri Besar Kedah baharu yakin sasaran mampu dicapai sekiranya jentera BN dan UMNO negeri bersama bekerja keras.

Ahmad-Bashah_kedah_bn_600

ALOR SETAR:
Menteri Besar Kedah baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bertekad Barisan Nasional (BN) negeri mampu memenangi dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya semua jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO negeri bersama-sama bekerja keras sebelum PRU14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada akhir Ogos 2018.

“Nak dapatkan (menangi) kerusi, kami (wakil rakyat) kena turun, jumpa rakyat bagi penerangan dan kerja keras bukan duduk sahaja,” katanya ketika berucap pada Program Mesra Jiran Perdana dan Menyemai Kasih Sayang, di sini, hari ini.

Ketika ini, 21 kerusi Dewan Undangan Negeri dipegang BN, PAS (lapan), PKR (empat), DAP (dua) dan Parti Amanah Negara (satu).

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, walaupun beliau kini memegang jawatan Menteri Besar, beliau mahu rakyat dan pengundi khususnya di kawasan diwakilinya iaitu Bakar Bata terus mengekalkan hubungan kemesraan dengan dirinya seperti sebelum ini.

Beliau berkata, jawatan tersebut bukanlah satu penghalang untuk memisahkan rakyat dengan dirinya, malah jelasnya, beliau masih sama seperti dahulu.

“Saya tak mahu bila dah jadi Menteri Besar ini mereka segan nak jumpa dan salam. Saya tak mahu pengundi ada perasaan itu kerana saya tahu keikhlasan sokongan dan kasih sayang mereka terhadap saya.

“Tapi saya nak elak protokol yang jauhkan rakyat dengan saya. Saya akan beritahu pegawai-pegawai, saya Bashah yang dulu sama dengan sekarang,” katanya.

Berhubung senarai EXCO kerajaan negeri yang baharu, Ahmad Bashah berkata, beliau ada memaklumkan perkara itu secara tidak rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, perbincangan rasmi mengenai perkara itu hanya boleh dibuat selepas cuti Tahun Baharu Cina.

“Memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri pun bercuti sehingga habis cuti Tahun Baharu Cina ini, saya pun belum dapat bincang apa lagi dengan beliau. Lepas itu (cuti) baru kami boleh bincang mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata selepas senarai EXCO dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk diperkenankan.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.