Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga mengakui bertentangan dengan harapan penganalisis, ahli perniagaan, bank-bank pusat, pihak berkuasa dan pelabur di seluruh dunia yang menunggu Malaysia untuk menamakan semula Zeti sebagai gabenor bank pusat.
“Saya ingin mengesyorkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan portfolio kewangannya dan melantik Zeti sebagai Menteri Kewangan.
“Ini adalah satu strategi lautan biru yang boleh menyelamatkan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Tze Tzin, pelantikan Zeti sebagai Menteri Kewangan pasti akan meningkatkan keyakinan Malaysia dan kedudukan negara di peringkat global, selari dengan kelayakan beliau.
“Beliau dipilih sebagai Central Bank Governor of the Year pada tahun 2005 oleh Euromoney dan salah seorang ketua bank-bank pusat Gred A oleh Global Finance selama lebih dari sepuluh tahun berturut-turut.
“Ternyata kita amat memerlukan seorang menteri kewangan yang berkaliber untuk membaiki defisit keyakinan yang dialami Malaysia ekoran pelbagai insiden termasuk skandal mengaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Perdana Menteri itu sendiri,” katanya lagi.
Dalam tempoh masa yang mencabar ini, Tze Tzin menyarankan agar Najib meletakkan kepentingan negara mendepani pertimbangan politik peribadinya.
“Saya seru Najib mengakui kesilapan beliau mengurus ekonomi Malaysia sehingga menyebabkan kegagalan ekonomi seperti hutang kerajaan yang tinggi, kenaikan kos hidup rakyat, kelembapan perniagaan, nilai ringgit susut dan juga gelombang pemberhentian kerja yang semakin serius,” katanya.
Malah, Tze Tzin juga merujuk tindakan agensi penarafan Moody yang menurunkan kedaulatan Malaysia di sebalik keputusan Najib untuk menaikkan kadar tol lebuh raya, tambang pengangkutan awam, harga gas asli dan mengurangkan subsidi beras dan subsidi minyak masak untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.
“Oleh itu, adalah wajar untuk Najib memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Perdana Menteri dan melantik Zeti yang mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang kewangan dan ekonomi menggantikan beliau sebagai Menteri Kewangan.
“Ia juga akan membantu mempercepatkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan 1MDB yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Malah, Zeti sebelum ini pernah berkata bahawa ringgit Malaysia akan pulih sebaik sahaja isu-isu mengenai 1MDB telah diselesaikan,” tambahnya yang percaya pelantikan Zeti sebagai Menteri Kewangan akan menjadi petanda baik bagi ekonomi Malaysia.
