Sektor swasta perlu ubah, elak bergantung buruh asing – MEF

Sektor swasta perlu ubah, elak bergantung buruh asing – MEF

Sektor swasta digesa mengubah cara operasi daripada menggunakan pekerja tidak berkemahiran dengan jumlah yang besar, kepada pekerja berkemahiran yang lebih sedikit.

Shamsuddin-Bardan-,banglasesh

PETALING JAYA:
Adakah kerajaan ingin terus membawa masuk tenaga kerja asing yang rata-ratanya pekerja tidak mahir bagi memenuhi keperluan sektor swasta, atau pun mengubah cara kerja yang dapat mengurangkan kebergantungan pada mereka?

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata ketika ini, jumlah pekerja asing di sektor swasta sudah hampir menyamai jumlah pekerja tempatan.

“Jika dicampur dengan pekerja tidak sah, ada sejumlah 4.3 pekerja asing dalam sektor swasta. Manakala pekerja tempatan pula 6.5 juta. Adakah kita akan terus bergantung kepada begitu banyak pekerja asing?” soalnya ketika dihubungi.

Beliau sebaliknya menggesa agar kaedah operasi di sektor swasta diubah, daripada menggunakan pekerja tidak berkemahiran dengan jumlah besar kepada pekerja berkemahiran dengan jumlah yang lebih sedikit.

“Kita perlu tukar cara kita buat kerja dengan lebih mengutamakan pekerja berkemahiran dan penggunaan mesin yang lebih canggih. Ini dapat mengurangkan jumlah pekerja, pada masa sama meningkatkan kadar gaji.

“Langkah ini perlu kerana dapat meningkatkan produktiviti negara yang ketika ini jauh ketinggalan berbanding negara jiran, Singapura. Untuk menjadi negara maju, kita perlu ubah cara kita bekerja mengikut masa,” katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pengambilan 1.5 juta lagi pekerja dari Bangladesh untuk memenuhi permintaan dalam sektor 3D (dirty, difficult, dangerous) yang enggan disertai warga tempatan.

Mengulas lanjut, beliau menggesa majikan dalam sektor swasta agar ‘membuat pelaburan’ dengan meningkatkan kemahiran pekerja melalui kursus kemahiran secara rasmi.

“Kadar gaji boleh dibayar mengikut sijil. Kita ada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 hingga 5. Bagi tahap 1 mungkin boleh bermula dengan RM1,300 dan seterusnya bagi tahap lebih tinggi,” katanya sambil berkata, kebanyakan pekerja pada masa ini tidak memiliki sijil.

“Dengan ini, saya tidak lihat pekerja tempatan tidak mahu buat kerja ini. Sekarang pun akibat keadaan ekonomi, pekerja tempatan sudah mula sanggup membuat pekerjaan yang tidak menepati kelulusan. Kenyataan TPM meleset,” katanya lagi.

Sebelum ini, pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai juga berkata peralihan kepada buruh asing tidak berkemahiran kepada pekerja tempatan berkemahiran dapat meningkatkan produktiviti dan kadar gaji di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.