Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pendakwaan yang sangat luas kepada Peguam Negara.
“Pada saya, orang yang paling berkuasa di Malaysia ialah Peguam Negara. Peguam Negara berhak mendakwa sesiapa sahaja mengikut budi bicaranya.
“Ini termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, apatah lagi Perdana Menteri walaupun lantikannya dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT, di sini, baru-baru ini.
Katanya, kuasa adalah korup dan kuasa yang lebih luas bermaksud korupsi yang lebih teruk dan ia boleh menjejaskan aspek integriti dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.
Akhbar turut menimbulkan situasi di mana Peguam Negara boleh memilih melindungi pesalah, meskipun kertas siasatan daripada agensi penguatkuasaan menunjukkan fakta kes adalah prima facie berlakunya jenayah.
“Bagaimana agensi penguatkuasaan kata ada kes dan bacaan Peguam Negara juga ada kes, tetapi Peguam Negara memilih untuk tidak mendakwa?
“Perkara ini boleh berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan Peguam Negara untuk berbuat demikian dan sekali lagi isu integriti menjadi perdebatan,” katanya
