
Beliau berkata, ini kerana Apandi dilihat sudah hilang segala kredibiliti selepas menolak begitu sahaja laporan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.
“Sebagai muslim yang baik, beliau perlu bersumpah al-Quran di masjid dengan disaksikan pegawai masjid dan orang ramai, bahawa laporan tersebut langsung tidak mengaitkan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Dia tidak patut cuba menipu dalam sumpahnya itu. Ia adalah dosa berganda. Dia akan dijatuhkan ke neraka yang lebih teruk,” kata beliau menerusi tulisan terbaru di blognya, Chedet.cc hari ini.
SPRM dalam laporan siasatannya dikatakan telah mencadangkan tiga pendakwaan terhadap Najib di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan berhubung kes pemindahan dana SRC International ke akaun Najib.
Dalam satu tulisan sebelumnya bertarikh 5 Februari, Dr Mahathir menyifatkan keputusan Apandi yang membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan `tidak bermakna apa-apa’ kerana beliau `tiada kredibiliti’.
Tulisan itu mengundang peringatan daripada Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Dr Mahathir sengaja mahu membuatkan pihak berkuasa bertindak terhadapnya agar beliau terus mendapat sokongan ramai dalam usaha ‘menjatuhkan’ Najib.
Portal Malaysiakini hari ini melaporkan, kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberitahu, polis sudah menerima laporan terhadap Dr Mahathir dan akan menyiasatnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) polis .
“Seakan membayangkan perkara itu akan berlaku (Kenyataan Annuar) petanda amat jelas ada keinginan untuk menahan saya”.
“Negara kini antara sepuluh negara paling korup di dunia tapi jangan berkata apa-apa tentang 1MDB dan (isu) RM2.6 bilion jika anda ingin kekal bebas,” katanya lagi.