Ketua Eksekutif Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, ia bagi mencapai sasaran membangunkan 40,000 bakat Bumiputera dalam pelbagai sektor menjelang tahun 2020.
“Kami ingin mencari lebih banyak rakan program untuk bersama yayasan dalam program penempatan kerja (replacement) kita untuk tahun ini, terutama dari industri yang memiliki permintaan (tenaga kerja) yang tinggi.
“Kami mensasarkan sektor yang memiliki permintaan yang tinggi, kerana matlamat kita adalah memastikan anak-anak (yang menyertai program) ini mendapat pekerjaan, bukan sekadar sijil latihan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran inisiatif baru sempena ulang tahun ke-4 Peneraju di Hotel Primiera, di sini, petang tadi.
Agensi itu ditubuhkan pada tahun 2012 di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bertujuan membangunkan bakat bumiputera.
Melalui tiga programnya iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional, ia menawarkan program pembiayaan pendidikan, kemahiran dan pensijilan professional kepada Bumiputera yang layak.
Beliau memaklumkan setakat ini, sejumlah 8,000 telah menyertai program yang dijalankan dan mensasarkan sejumlah 7,000 peserta setiap tahun untuk tahun mendatang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa program tersebut diadakan bukan kerana golongan Bumiputera tidak memiliki daya saing, tetapi sebahagiannya memerlukan panduan dan galakan.
“Bukan kami kata golongan Bumiputera tiada daya saing, tetapi ada yang perlukan panduan daripada Peneraju.
“Misalnya ada yang daripada bidang minyak dan gas tidak tahu pergi ke mana apabila sektor itu tiada peluang pekerjaan, maka kamilah yang akan memberikan panduan,” katanya lagi.
