1.5 juta pekerja Bangladesh tetap masuk Malaysia – PERKASA

1.5 juta pekerja Bangladesh tetap masuk Malaysia – PERKASA

PERKASA dakwa pekerja Bangladesh ini akan dibawa ke Malaysia dengan jumlah 1.5 juta menerusi pelbagai kuota yang diluluskan Kabinet.

ibrahim,zahid

PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia diseru supaya tidak mudah teruja dengan janji Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh dibekukan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, berkata tindakan Zahid itu hanyalah bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat semata-mata.

“Saya ingin menarik perhatian, kita jangan mudah teruja dengan drama, di mana saya bimbang setakat penangguhan ini untuk meredakan kemarahan rakyat. Sebenarnya pekerja Bangladesh ini akan dibawa ke Malaysia dengan jumlah 1.5 juta ,” ujarnya.

Melalui rakaman video yang dimuat naik oleh blogger minaq jinggo, Ibrahim menyatakan, perkara itu bukanlah suatu baharu, memandangkan sebelum ini Kabinet secara senyap meluluskan pelbagai kuota.

“Saya ingin tegaskan, sebelum ini sudah ada pengumuman Kabinet membekukan keputusan itu dan ini. Tetapi dalam senyap-senyap mereka meluluskan pelbagi kuota termasuk pekerja asing peringkat demi peringkat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggesa Kerajaan Persekutuan tidak bermain wayang, sekali gus memutar belitkan rakyat dengan keputusan yang tidak tetap.

“Jangan terus bermain drama, terus memutar belitkan rakyat kerana yang kita nak lihat, pembatalan terus secara muktamad, tidak ada lagi pekerja warga asing. Masalah kekurangan pekerja boleh kita uruskan dengan cara yang lain, banyak lagi kaedah dan bukan dengan jalan yang mudah,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.