Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Group, Amin Lin Abdullah berkata, penutupan itu terpaksa dilakukan memandangkan berlaku pencemaran di Sungai Langat.
“Keadaan sungai sedang diawasi dengan rapi dan loji rawatan air tersebut akan beroperasi semula sebaik sahaja situasi pencemaran air di Sungai Langat reda,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Amin Lin berkata, pengguna-pengguna di kawasan Hulu Langat, Kuala Lumpur dan Petaling telah dibekalkan air menggunakan lori-lori tangki ke kawasan masing-masing sementara menunggu keadaan pulih seperti sedia kala.
Para pengguna akan dimaklumkan mengenai perkembangan berhubung situasi yang berlaku dari masa ke semasa melalui media massa, aplikasi telefon bimbit pintar “mySYABAS” dan www.syabas.com.my.
Pengguna boleh juga berhubung SYABAS melalui talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS 39222 untuk bantuan bekalan air.
