Pembentangan 1MDB ditangguh lagi

Pembentangan 1MDB ditangguh lagi

Ia penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB

hasan arifin

PETALING JAYA:
Pembentangan laporan akhir pengauditan oleh Ketua Audit Negara terhadap syarikat pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan pada 24 dan 25 Februari ini ditangguhkan.

Perkara itu diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ini kerana kebanyakan ahli PAC kini berada di luar negara.

Malah katanya, ada di antara mereka sedang menunaikan umrah serta mempunyai komitmen lain yang lebih penting.

“Adalah penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, tarikh baru bagi pembentangan akan dimaklumkan kemudian dan dijangka pada minggu pertama bulan Mac.

PAC sebelum ini bercadang membentangkan laporan akhir pengauditan terhadap 1MDB di Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat bermula Mac hingga April ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, prosiding membabitkan 1MDB itu sudah berlarutan sejak Mei 2015 dan maklumat yang diterima melalui sembilan prosiding sebelum ini sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan yang objektif, telus dan adil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.