Mengikut Perlembagaan parti, Zahid merupakan pemimpin UMNO paling layak kerana beliau salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan akan membawa usul supaya Muhyiddin digantung jawatan Timbalan Presiden pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang akan diadakan esok (Jumaat).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau akan mengusulkan kepada Jawatankuasa Disiplin supaya mengantung jawatan Muhyiddin kerana gagal menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden.
“Saya akan membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin yang selama ini sudah bersedia menyiasat Muhyiddin.
“Saya juga akan mengesyorkan jika Muhyiddin didapati bersalah melanggar Perlembagaan parti, beliau mesti digantung,” katanya, lapor Star Online.
Nazri berkata, beliau hanya mahu mengusulkan Muhyiddin digantung kerana sebagai Timbalan Presiden, Ahli Parlimen Pagoh itu sepatutnya menyokong Presiden parti.
“UMNO tidak mahu memecat Muhyiddin kerana beliau tidak melakukan kesalahan jenayah tetapi melanggar peraturan parti,” katanya.
