Pengerusi Tetap Pemuda UMNO cawangan Sawah Raja, Akmal Noraddzmi Abd Rahim, mendakwa pembersihan hutan itu dilakukan dengan bayaran royalti sebanyak RM663,000.
Katanya, tindakan membersihkan kawasan hutan berkenaan menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air di negeri itu.
“Malah, pembayaran royalti itu adalah sangat murah jika dibandingkan harga pasaran dan keuntungan yang diperolehi.
“Impak alam sekitar amat besar bukan setakat menjejaskan alam sekitar secara umumnya tetapi sumber air secara khususnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, maklumat yang diperolehi menyebut bahawa tujuan pembersihan kawasan Hutan Jeram Toi adalah untuk laluan kabel bervoltan tinggi (500kv).
Bagaimanapun, Akmal Noraddzmi berkata, daripada pemantauan mata kasar pihaknya mendapati kawasan yang dibersihkan adalah lebih luas.
“Kerajaan negeri didesak tampil menjelaskan perkembangan ini dan ‘operasi khas’ memetakan kontraktor lombong pasir dan syarikat yang mendapat lesen pembalakan akan dibuat.
“Pesanan kami ialah hasil bumi seperti pasir dan balak Negeri Sembilan bukan untuk agihan habuan orang politik,” katanya.
