Jutawan Iran dihukum mati kerana rasuah

Jutawan Iran dihukum mati kerana rasuah

Peguam menyifatkan hukuman terbabit sebagai bermotifkan politik dan akan membuat rayuan.

Zanjani,hukum-mati

TEHRAN:
Kerajaan Iran menjatuhkan hukuman mati kepada jutawan minyak, Babak Zanjani atas kesalahan rasuah berjumlah kira-kira AS$2.8 bilion.

Menurut laporan BBC, jurucakap kehakiman berkata, Zanjani didapati bersalah atas jenayah ekonomi dan penipuan, selepas ditangkap pada Disember 2013 selepas menyeleweng hasil minyak disalurkan melalui syarikat miliknya,

Selain Zanjani, dua individu lagi turut dihukum mati dan mereka bertiga diarahkan untuk memulangkan wang yang diseleweng.

Namun Peguam Zanjani, Zohreh Rezalee menyifatkan hukuman tersebut bermotifkan politik dan akan membuat rayuan.

“Kami yakin dalam kes ini, Babak Zanjani hanyalah seorang penghutang,” katanya lagi seperti dipetik BBC.

Ketika perbicaraan itu, pihak pendakwa berkata, Zanjani masih tidak memulangkan sejumlah AS$2.7 bilion hasil minyak yang diperolehinya.

BBC mendakwa, Zanjani sebagai memainkan peranan utama dalam membantu Iran menjual hasil minyaknya ke luar negara di saat sekatan ekonomi, di bawah pentadbiran Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Beliau ditahan selepas Hassan Rouhani menggantikan Ahmadinejad dan mengarahkan kerajaannya untuk melawan ‘rasuah kewangan’, terutama yang melibatkan individu yang ‘mengambil kesempatan daripada sekatan ekonomi’ ketika pentadbiran sebelumnya.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Zanjani mengaku menggunakan rangkaian syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan Malaysia untuk menjual berjuta gelen minyak bagi pihak kerajaan sejak 2010.

Namun dalam wawancara bersama BBC pada tahun 2013, beliau menafikan sebarang kaitan politik dan mendakwa ‘hanya menjalankan perniagaan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.