Anina tuduh Najib pengancam negara

Anina tuduh Najib pengancam negara

Rakyat Malaysia sememangnya wajar bersatu menyelamatkan 30 juta rakyat Malaysia bukannnya bersatu untuk melindungi seorang pencuri.

anina-najib
PETALING JAYA: Bekas ahli UMNO, Anina Saadudin menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai musuh sebenar negara ini dan bukannya pengganas militan (IS).

Dia membuat tuduhan itu sebagai menjawab pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila mengatakan pengganas militan IS cuba menculik Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dirinya di Dewan Rakyat semalam.

“Musuh sebenar Malaysia sebenarnya ada di dalam kerajaan sendiri (Najib), bukan dari luar (IS).

“Rakyat Malaysia sememangnya wajar bersatu menyelamatkan 30 juta rakyat Malaysia dan bukannya bersatu untuk melindungi seorang pencuri (merujuk kepada Perdana Menteri) yang kononnya mahu diculik oleh pengganas,” katanya kepada FMT.

Anina tidak menolak tindakan IS membatalkan rancangan untuk menculik Perdana Menteri pada Januari tahun lalu adalah disebabkan mereka mendapati Presiden UMNO itu adalah sasaran yang sia-sia.

“IS dikatakan pernah merancang untuk menculik Najib Razak pada Januari tahun lalu.Namun ianya tidak terjadi. Kemungkinan besar setelah IS mengkaji secara mendalam rancangan tersebut, mereka mendapati Najib Razak adalah sasaran yang sia-sia atau atas nama lain, sasaran yang langsung tidak berguna.

“Sekiranya IS menculik Najib Razak, kredibiliti IS sebagai pengganas juga akan tercalar kerana Najib Razak hanyalah pemimpin yang tiada nilai kepada 30 juta rakyat Malaysia. IS akan diketawakan di seluruh dunia,” katanya.

Semalam, Zahid mendedahkan ada cubaan oleh kumpulan militan IS untuk menculik Najib, Hishammuddin dan juga dirinya.

Katanya, IS juga pernah merancang untuk menguji bahan letupan buatan sendiri di Alor Setar. Bahkan, serangan itu mensasarkan beberapa lokasi seperti masjid Syiah dan tokong.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.