
Hadi berkata, PAS menyerahkan perkara itu kepada UMNO Terengganu selaku pemerintah.
“Biasa sahaja (isu Terengganu). PAS tidak akan terlibat (dalam undi tidak percaya) ini terpulang pada UMNO kerana mereka majoriti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad membentangkan usul undi tidak percaya terhadap penggantinya Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Namun usul berkenaan ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong kerana tidak memenuhi syarat.
Mengulas lanjut, Hadi menyatakan, PAS setuju perubahan perlu dilaksanakan namun parti Islam itu tidak mahu terlibat dengan isu perebutan jawatan.
“Kita akan terlibat di dalam isu-isu yang munasabah bukan isu yang hendak rebut jawatan,” jelasnya.
Hadi sewaktu berbahas di Parlimen juga menyatakan Islam tidak menggalakkan pemimpin dipecat sebaliknya perbetulkan pemimpin tersebut.