Kelab golf pemilik Kampung Orang Asli Bukit Tunggul

Kelab golf pemilik Kampung Orang Asli Bukit Tunggul

JAKOA dakwa Bukit Unggul Golf & Country Resort tidak benarkan penyaluran bekalan elektrik dan air ke kampung Orang Asal bersempadanan dengan Putrajaya itu.

Orang-asli1
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mendedahkan keseluruhan tanah Kampung Orang Asli Bukit Tunggul sudah dipunyai oleh sebuah kelab golf di Sepang.

Pemilikan tanah itu menyebabkan bekalan elektrik dan air tidak dapat disalurkan ke Kampung Orang Asli Bukit Tunggul kerana kawasan tersebut merupakan hak milik kelab golf terbabit.

Dalam kenyataan medianya hari ini, JAKOA berkata, Bukit Unggul Golf & Country Resort Sdn Bhd (BUGCR) adalah pemilik tanah, yang mana perkampungan Orang Asal Bukit Tunggul diwujudkan sejak tahun 1970-an.

JAKOA mendedahkan bahawa tanah tersebut diberi hak milik kepada BUGCR pada tahun 1993 dengan pampasan berjumlah RM2 juta kepada penduduk kampung berkenaan.

“Tanah tersebut telah diberi hak milik kepada BUGCR pada tahun 1993 dengan pampasan berjumlah RM2 juta yang telah dipersetujui oleh penduduk kampung dan ditandatangani oleh Pengarah JHEOA Negeri Selangor (sebelum ditukar kepada JAKOA) pada ketika itu.

“Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tunggul dipindahkan ke Kampung Orang Asli Kechau, Ulu Semenyih, di mana pihak BUGCR telah membina 34 unit rumah kepada penduduk yang dipindahkan.

Kata kenyataan JAKOA itu lagi, bagaimanapun penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tunggul enggan berpindah ke Kampung Orang Asli Kechau kerana tiada sumber pendapatan.

JAKOA berkata, sebahagian Orang Asal Bukit Tunggul berpindah ke penempatan lain atau menumpang di kampung saudara-mara, manakala sebahagian lain masih tinggal di Kampung Orang Asli Bukit Tunggul atas ihsan pemilik tanah tersebut iaitu BUGCR.

Kata kenyataan itu, JAKOA akan mengadakan perbincangan dengan BUGCR dan Pejabat Tanah Daerah dalam masa terdekat supaya bekalan elektrik dan air dapat disalurkan ke perkampungan itu.

Semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif dipetik sebagai berkata, pemilik tanah di Bukit Tunggul tidak membenarkan kabel elektrik melalui kawasan tanah mereka untuk disalurkan ke kampung Orang Asal di situ.

Awal minggu ini, FMT mendedahkan Kampung Orang Asli Bukit Tunggul Blok A, Blok B dan Blok C tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih walaupun kedudukannya tidak sampai lima kilometer dari Putrajaya.

Satu lagi kampung bersempadanan dengan Putrajaya, iaitu Kampung Orang Asli Bukit Jenuk juga dikesan tidak mempunyai bekalan elektrik, namun sudah mendapat bekalan air bersih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.